Salasilah keturunan dan keluarga Sabran Asmawi

Allahyarham TG merupakan seorang yang berketurunan Banjar dari sebelah ibu Hajjah Jaharah binti Haji Taib (meninggal dunia pada 08.03.1967M, jam 7.45 pagi pada usia 59 tahun) dan bapa Haji Hasamawi@Asmawi bin Haji Ismail (meninggal dunia pada 20.07.1979M, jam 7.15 malam pada usia 89 tahun) mempunyai salasilah yang panjang berasal dari daerah Sapat, dalam negeri Inderagiri, di pulau Sumatera dalam negera Indonesia. Adat orang yang merantau, ayahanda Allahyarham TG telah berusaha gigih untuk membuka tanah-tanah baru di sekitar daerah Larut, Matang dan Selama, Sungai Malau, Masjid Tinggi dan Alor Pongsu, Bagan Serai Perak di awal tahun 1920an Masehi.

Anak yang ke-7 dari 8 orang adik beradik berkahwin dengan Hajjah Asma’a binti Haji Sa’ad (1955M~2002M) iaitu anak kepada Allayarham Tuan Guru Haji Sa’ad bin Abdul Kadir dan isteri Allahyarhamuha Hajjah Aisyah binti Mohammad yang juga merupakan salah seorang Tuan Guru di Madrasah Ahmadiah al-Ijtima’iah (الأحمدية الاجتماعية) Padang Lalang, Pulau Pinang tempat di mana Allahyarham TG mula-mula mendalami ilmu agama selama lebih 10 tahun. Hasil dari perkahwinan kali pertama dengan Allahyarhamuha Hajjah Asma’a binti Haji Saad, telah di kurniakan Allah Ta'ala seramai 15 orang anak.

Isteri pertama Allahyarham TG telah kembali ke-Rahmatullah secara tepatnya pada 31hb Mac 2002M akibat sengsara dari penyakit Pulmonary Embolisme atau kegagalan jantung untuk berfungsi dan masalah paru-paru berair. Menghembuskan nafas terakhir di Hospital Seberang Jaya, Seberang Perai Pulau Pinang setelah mengalami koma lebih kurang seminggu. Di sepanjang seminggu koma di hospital tersebut, Allahyarham TG hampir setiap hari dan lebih dari 12 jam sentiasa mendampingi dan menemani isterinya untuk merawat, menjaga dengan penuh rasa kesihan belas. Ini dapat di lihat dari perlakuan membersihkan badan, malah di saat-saat menghembuskan nafas terakhir; Allahyarham TG dengan penuh rasa kasih sayang dan simpati menyapu darah yang keluar dari mulut serta hidung isterinya.

Keadaan begitu sedih, hiba dan pilu pada ketika itu di kelilingi sebahagian dari anak-anak. Menurut kata Allahyarham TG; darah itu adalah darah orang lain yang didermakan kepada isterinya. Ia pada ketika mana saat melahirkan anak ke-15 beberapa tahun sebelumnya, yang pada ketika itu mengalami masalah “tumpah darah”. Isteri Allahyarham TG akhirnya menghembuskan nafas terakhir pada dini hari sekitar jam 3:00 pagi.

Selamat dikafankan, disembahyangkan dan dikebumikan sekitar jam 4 petang hari yang sama. Kedudukan kubur bersebelahan dengan ayahanda Allahyarham TG di Masjid Sungai Semambu, Bagan Serai Perak. Satu perkara yang menjadi perhatian ramai orang yang mengiring jenazah adalah apabila kubur yang biasanya digenangi air (maklum bagi kawasan tanah sawah padi) setiap kali ada orang dikebumikan, namun dengan kehendak Allah Ta'ala, tidak pula bagi isteri Allahyarham TG, ia ternyata kering dan hampir tiada air. Kata Allahyarham TG kepada anak-anak; “Itulah habuan emak kamu” ringkas.

Memandangkan serta memikirkan masih ramai lagi dari kalangan anak-anak yang memerlukan kasih sayang seorang ibu, Allahyarham TG telah membuat keputusan untuk berkahwin kali kedua dengan Hajjah Noraini binti Hussain pada Julai tahun yang sama. Namun perkahwinan kali kedua ini tidak mempunyai rezeki untuk menambah zuriat keturunan.

Rujukan

WikiPedia: Sabran Asmawi http://quran.al-islam.com/Targama/DispTargam.asp?n... http://www.mail-archive.com/harakahdaily@yahoogrou... http://www.ijn.com.my http://www.karyanet.com.my/knet/ebook/preview/p_Ma... http://www.pilihanraya.com.my http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2005&d... http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&d... http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&d... http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&d... http://mufti.penang.gov.my/ahlijawatankuasa.htm